Wednesday, 11 April 2018

Sejarah Dan Misteri Kellie's Castle

PENGENALAN

   Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca. Saya dan rakan-rakan daripada KPJ International College, Johor Bahru. Kami dari group 8(Cohort 15) ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang sejarah dan kisah misteri disebalik Kellie's Castle. 


NAMA AHLI KUMPULAN ;

1.Nur Izzati Najihah Binti Othman(23041163027)
2.Nur Hassanah Binti Agus(23041163057)
3.Nurfarhanah Binti Usri(23041163068)
4.Nur Etta Farina Binti Mohd Ridzuan(23041163025)
5.Pavitra a/p Subramaniam(23041163030)
6.Zulasyri Bin Zulkifli(23041163043)
7.Elavarasi a/p Elangovan(23041163048)




   Sebut sahaja Batu Gajah, Perak, pastinya nama Istana Kellie atau Kellie’s Castle akan disebut sebagai tarikan utamanya.  Walaupun telah berusia 113 tahun, istana lama yang mulai dibina pada tahun 1905  ini terus kukuh berdiri di puncak bukit, malah keadaan fizikalnya makin bertambah baik hasil aktiviti konservasi yang telah dilakukan keatasnya. Jika mahu disingkap sejarah pembinaanya, ramai yang menyatakan Istana Kellie itu ibarat Taj Mahal Malaysia, kerana sepertimana bangunan bersejarah di Agra, India itu, Istana Kellie dikatakan dibina sebagai manifestasi cinta seorang suami kepada isterinya. 

   Jika Taj Mahal dibina sebagai lambang cinta Shah Jehan kepada Mumtaz Mahal, Istana Kellie pula dibina atas rasa kasih dan sayang William Kellie Smith kepada isteri beliau, Agnes. William Kellie Smith dikatakan bertemu jodoh dengan Agnes sewaktu berada diatas kapal dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang. Sebenarnya William Kellie Smith bukan sahaja telah membina sebuah istana buat isterinya, tetapi beliau turut memindahkan beberapa hartanah miliknya atas nama Agnes. Kedudukan sosial keluarga William Kellie Smith pada ketika itu dikatakan sangat tinggi, malah mereka dikatakan dikalangan 10 keluarga elit di daerah Kinta yang menguasai perusahaan ladang getah dan pelombongan bijih timah.


 ASAL USUL WILLIAM KELLIE SMITH

   Pada kurun ke 19, Batu Gajah terkenal sebagai kawasan pengeluaran bijih timah serta getah yang utama di negeri Perak dan Tanah Melayu. Disebabkan itu, ramai usahawan dari Eropah yang datang ke kawasan ini untuk melabur dan membuka ladang-ladang serta lombong bijih timah disini. Diantara orang Eropah yang datang adalah untuk mencuba nasib menjadi pusat perladangan getah di Batu Gajah ini ialah Wiliam Kellie Smith.


William Kellie Smith dilahirkan pada 1 mac 1870 di Scotland. Dilahirkan dalam keluarga petani dan merupakan anak ketiga daripada 5 orang adik-beradik. Pada 1 Mac 1890, sewaktu berumur 20 tahun, William telah datang merantau ke Malaya untuk menambah baik taraf kehidupannya. Beliau bermula dengan bekerja sebagai Jurutera awam dengan kontrak 2 tahun dengan kerajaan untuk membina laluan keretapi, malangnya projek itu terpaksa diberhentikan. Bagaimanapun, beliau telah bekerjasama dengan seorang kontraktor iaitu Charles Alma Baker untuk membuat projek membina jalan raya di Perak. Dari situ beliau mula terlibat dalam bidang perladangan pokok getah dan industri perlombongan bijih timah. Beliau merupakan pemilik Kinta Kellas Estate untuk ladang getah dan Kinta Kellas Tin Dredging Company yang mengusahakan perlombongan bijih timah.

Kellie Smith telah berkahwin dengan isterinya iaitu Agnes pada tahun 1903 yang merupakan pewaris kepada perniagaan kapas yang diusahakan oleh keluarga beliau dan bakal mewarisi dana sebanyak 300 000 pound. Beliau kemudian membawa isterinya ke Tanah Melayu dan beberapa tahun kemudian, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan bernama Helen. Beliau sayangkan anak perempuannya, namun beliau menginginkan untuk mendapatkan anak lelaki sebagai pewaris empayar perniagaan yang beliau bina selama ini. Namun, ternyata sukar bagi Agnes untuk memperoleh anak kedua.

Hanya selepas sebelas tahun barulah Agnes mengandung semula. Pada tahun 1915, Agnes telah melahirkan seorang bayi lelaki yang dinamakan sebagai Anthony. 


SEJARAH PEMBINAAN KELLIE'S CASTLE


   Istana Kellie dibina atas rasa kasih dan sayang William Kellie Smith kepada isteri beliau, Agnes, Kellie mula merancang untuk membina sebuah rumah agam yang besar dan indah. Disebabkan minat beliau kepada negara India dan ajaran Hindu, beliau telah membawa ciri-ciri ini dalam seni bina untuk rumah barunya. Disamping itu, istana ini juga turut mempunyai seni Roman dan Moorish yang menambahkan lagi keunikannya. Batu bata dan kebanyakkan bahan bina telah diimport daripada India. Bahkan beliau membawa 70 pekerja mahir daripada Madras, Selatan India untuk pembinaan rumah agam tersebut.


Kellie telah cuba sedaya upaya untuk mendapatkan wang dan ideanya untuk memastikan rumah ini lain dari yang lain. Kellie berhasrat ingin meletakkan lif didalam istana tersebut agar menjadi lif yang pertama di Malaya ketika itu. Disamping itu juga, istana ini juga mempunyai 14 bilik khas untuk menyimpan arak, bilik linen, bilik bacaan, fotografi dan juga bilik bawah tanah yang dilengkapi dengan terowong rahsia beserta kemudahan lif yang pertama dibina seumpamanya di Tanah Melayu. Selain itu juga, istana ini mempunyai ruang untuk bermain tenis di atas bumbung.

Dengan kedudukan istana yang dibina di atas bukit dan juga kedudukan yang strategik, Kellie dan juga pengawal beliau telah bersiap sedia untuk melarikan diri jika berlaku apa-apa serangan orang tempatan terhadap beliau. Bilik-bilik ahli keluarga Kellie mempunyai laluan rahsia yang terletak didalam bilik mandi untuk membolehkan ahli keluarganya melarikan diri melalui tangga yang sempit ke tingkat bawah. Bukan itu sahaja, kawasan taman istana tersebut juga dibina beberapa laluan terowong bawah tanah rahsia yang membolehkan keluarga Kellie lari dari istana ke kuil berdekatan.

Kemudian sebuah kuil dibina sempena dewa Mariamman telah dibina dalam jarak 1500 meter daripada tapak rumah agam tersebut. Ada yang menyatakan bahawa Kellie membina kuil tersebut untuk melindungi mereka yang tinggal di tanah milik beliau. Ada juga pendapat pula mengatakan Kellie membina kuil tersebut sebagai pusat ajaran Hindu sehingga ke hari ini.

Hajat Kellie ingin melihat istananya siap akhirnya tidak kesampaian. Istana ini akhirnya terbengkalai apabila wabak Spanish Flu telah merebak dan membunuh ramai pekerja Kellie. Selepas 11 tahun, ia mula dibina semula tetapi istana ini masih belum dapat disiapkan kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama. Pada Disember 1926, Kellie tidak sempat merasai tinggal di istana tersebut kerana semasa perjalanan beliau ke Lisbon,Portugal beliau telah meninggal dunia pada umur 56 tahun kerana menghidap penyakit pneumonia. Agnes kemudiannya pulang ke Scotland bersama dengan anak-anaknya. Beliau telah menjual rumah agam tersebut kepada syarikat British bernama Harrison and Crossfield.

Anthony Kellie Smith pula telah maut dalam Perang Dunia Kedua dan Helen tidak pernah pulang ke Kellie’s Castle. Tinggalan yang ada pada rumah pertama milik Kellie yang berada di belakang rumah agam yang tidak siap hanyalah laluan pejalan kaki dan beberapa bahagian dinding yang sudah runtuh. Kellie’s Castle telah dibaikpulih dan kelihatan seperti tidak pernah diusik semenjak dari dahulu. Rumah agam tersebut juga pernah digunakan dalam filem tahun 1999 iaitu filem Anna and the King.










MISTERI KELLIE'S CASTLE


   Antara kawasan paling 'keras' di dalam rumah agam ini dinamakan Balkoni Serambi Berhantu. Kawasan ini bersebelahan bilik Helen. Video dibawah hanyalah lakonan semata-mata.




Kisah 1 – Roh William Kellie Smith menjaga istananya




   Roh William Kellie Smith dikatakan sentiasa merayau-rayau di sekitar koridor bekas istananya itu. Tajuddin Yaakob, Pengarah Aqfast Enterprise, iaitu syarikat yang bertanggungjawab menguruskan Istana Kellie turut berkongsi kisah misteri ketika ditemuduga dalam satu rancangan dokumentari. Beliau merujuk peristiwa di mana sekumpulan ahli naturalis saintifik dari Kanada yang mengadakan kajian tentang haiwan yang keluar pada waktu malam di kawasan berkenaan. Sekitar tengah malam, setelah selesai mengambil gambar, salah seorang anggota wanita pasukan tersebut dikatakan telah terlihat satu lembaga yang menyerupai seorang lelaki berbangsa eropah sedang berdiri dan menjenguk dari salah satu tingkat di istana berkenaan, lembaga tersebut dipercayai roh William Kellie Smith. (Sumber: NST, 27 Mei 2008)



Kisah 2 – Misteri bilik helen




   Antara salah satu ruang di dalam Istana Kellie yang dianggap mempunyai misteri ialah bilik anak perempuan beliau, iaitu Helen. Seorang pengunjung Istana Kellie dikatakan pernah terlihat seorang budak perempuan berbangsa eropah berusia dalam lingkungan usia enam tahun berkeliaran di dalam bilik tersebut.


Kisah 3 – Pengawal tanpa kaki





   Pada tahun 1995, dikisahkan terdapat empat orang pemuda dari Tapah, Perak buat kali pertamanya melawati Istana Kellie. Mereka sampai di Istana berkenaan pada kira-kira pukul lima petang. Malangnya mereka telah didatangi seorang lelaki yang dipercayai pengawal istana berkenaan dan dimaklumkan bahawa premis berkenaan telah ditutup kerana telah melewati tempoh melawat. Sebelum meninggalkan premis berkenaan mereka sempat memandang ke arah pengawal tadi yang sedang menuju ke arah pondok pengawalnya, di situlah baru mereka sedari bahawa pangawal tadi rupanya tidak mempunyai kaki, sebaliknya seakan-akan melayang menuju ke pondoknya (Sumber: NST, 8 Oktober 2006).


Kisah 4 – Bertemu Langsuir




   Seorang pengawal di Istana Kellie, Kamazan Yeop atau Pak Naman berkongsi pengalaman seram beliau sewaktu melakukan tugas rondaan selepas waktu melawat yang berakhir pada pukul 6 petang. Sewaktu beliau melintasi sebatang pokok angsana yang berada di halaman istana berkenaan, beliau terdengar bunyi yang agak mencurigakan, lalu mematikan langkah beliau di situ. Sebaik sahaja beliau menoleh ke belakang, kelihatan satu lembaga putih dengan rambut panjang menggerbang muncul di sisi pokok angsana berkenaan dan menuju ke arah di mana beliau sedang berdiri. Dalam situasi cemas itu, Pak Naman sempat membaca beberapa potong ayat al-Quran sambil mengacukan senapang patah beliau ke arah lembaga tersebut. Beberapa das dilepaskan, namun ianya tidak meninggalkan sebarang kesan. Sebaliknya lembaga tersebut melayang terbang meninggalkan kawasan tersebut. Dikatakan lembaga  yang ditemui oleh Pak Naman itu sebenarnya adalah hantu Langsuir. Beberapa hari kemudian, Pak Naman sekali lagi terserempak dengan satu lembaga putih, cuma kali ini di sekitar kawasan surau istana berkenaan. Pak Naman tidak pasti adakah lembaga yang beliau temui di kawasan surau itu adalah lembaga yang sama yang pernah ditemuinya sebelum ini. Kedua-dua peristiwa ini berlaku dalam tahun 1997 (Sumber: NST, 26 Jun 2006).


PENUTUP

   Kellie's castle menyimpan pelbagai kenangan yang pahit dan manis. Istana yang tersergam indah ini adalah milik William Kellie Smith yang berasal dari scotland. Beliau meninggalkan rumahnya di Kellas untuk mencuba nasib dengan membuka perniagaan di Tanah Melayu. Pembinaan rumah agam ini mengalami beberapa masalah dan ia tidak dapat disempurnakan hingga hari ini. William Kellie Smith meninggal dunia pada 11 Disember 1926 di Pelabuhan Lisbon ,Portugal kerana radang paru-paru. 

   Walaupun Kellie's Castle ini tidak sempurna dibina dan dikatakan mempuyai pelbagai kisah mistik dan seram seperti yang diceritakan ,namun istana yang berdiri gah di atas bukit ,di bandar Ipoh ini tetap menjadi tarikan dan kunjungan para pelancong bukan sahaja dari dalam negara malah dari luar negara juga. Istana ini telah dijadikan sebagai tempat pelancongan bersejarah dan menjadi sumber pendapatan ekonomi untuk negara.




RUJUKAN


Admin. (2017, August 8). misteri kellie's castle, bangunan paling berhantu di Malaysia! Retrieved from sentiasapanas.com: www.sentiasapanas.com
ARKIB. (2013, Ogos 24). lambang cinta kellie. Retrieved from utusan online: https://ww1.utusan.com.my
rassel. (2009, Mac 1). kellie castle. Retrieved from sejarah kellie castle: kelliescastles.blogspot.com
Rayyan. (2017, June 4). misteri kellie castle. Retrieved from orangperak.com: https://www.orangperak.com
Yunus, Z. M. (2015, March 8). meremang di kellie's castle. Retrieved from bharian.com.my: https://www.bharian.com.my


No comments:

Post a Comment